Tuesday, May 27, 2008

NGO Ganti UMNO Yang Takut - Shahrir


Kerana takut bersuara serta sifat sayang dan inginkan kedudukan di kalangan ahli UMNO menjadikan orang Melayu kini memilih untuk bergerak sendiri tanpa melibatkan parti tersebut.

Sifat “feudal” ini dianggap oleh Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad sebagai Budaya Takut Bersuara Yang Menjejaskan Kekuatan UMNO seperti lapuran Bernama 26Mei 2008.

Shahrir berkata budaya "feudal" yang dimaksudkan beliau ialah sikap pemimpin bawahan yang `takut' bersuara kerana tidak mahu mengatasi pemimpin atasan.


"Mereka takut bersuara kerana takut dikatakan melebih-lebih. Mereka tunggu pemimpin atas bersuara. Pemimpin bawahan juga takut bersuara menegur jika apa yang dirasakan mereka tidak kena. Semuanya takut," katanya.


Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap itu terbentuk kerana pemimpin berkenaan mahu menjaga kepentingan sendiri. "Ya, mereka tak nak bersuara takut kedudukan mereka terjejas. Inilah juga masalah dalam parti sekarang. Mereka bukan lagi nak perjuangkan parti dan bangsa, tetapi untuk diri sendiri," katanya.

Menyifatkan amalan "feudal" itu sebagai `api dalam sekam', Shahrir berkata pemimpin sedia ada harus berbalik kepada asas penubuhan Umno jika benar-benar sayangkan parti.

Dalam menerima dengan pahit penolakan masyarakat khususnya di N33 Taman Medan terhadap UMNO di dalam PRU12 lalu, blog ini menyuarakan masa dan keadaan memanggil kita untuk memperingati Perlembagaan UMNO khusus mengenai asas dan tujuan penubuhannya.

Kesan tersasar daripada asas penubuhan, Shahrir berkata “Umno kini tidak lagi menjalankan peranan sebenar mereka sebaliknya menyerahkan tanggungjawab menangani masalah orang ramai kepada NGO yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan sekarang”.

Maka tidak hairanlah masyarakat telah membuat keputusan memilih mereka daripada NGO sebagai ganti kepada wakil rakyat UMNO di dalam PRU12 lalu dan tidak mustahil yang akan datang juga.

Apakah kerana takut untuk bersuara serta hilang atau tidak mendapat jawatan ahli-ahli UMNO sanggup membiarkan orang Melayu meninggalkan sepenuhnya parti keramat ini.

Seperti yang telah dikatakan dahulu, tidak mustahil ia berlaku kerana UMNO lahir dari gerakan Bangsa Melayu. Bukan UMNO yang melahirkan gerakan Bangsa Melayu.

Saturday, April 26, 2008

Ku Li: UMNO perlu kembali kepada visi asal dan membuktikan persepsi popular hari ini tidak benar

Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah petang ini mengatakan UMNO perlu merenung semula dasar, cara pergerakan dan pandangan serta penerima ahli, terutama orang Melayu.

“Perlu dibuktikan bahawa persepsi rakyat hari ini keatas UMNO sebenarnya tidak betul dan UMNO sebenarnya masih lagi relevan untuk orang Melayu, rakyat Malaysia dan menangani cabaran Globalisasi”.

Beliau membuat gesaan ini dalam satu majlis bersama sama Cawangan Umno sekitar Subang Jaya di Holiday Villa.

Kuasa orang Melayu hari ini bergantung kepada kekuatan sokongan dari Sabah dan Sarawak kerana calon UMNO telah kalah dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti pilihanraya umum sebelum ini.

“Biasanya dalam sistem demokrasi, Kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti, tidak akan berkesan” ujar pemimpin UMNO berusia 71 tahun itu. “Rakyat mahukan sistem ‘check and balance’, yang ditafsirkan dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008, melalui undi popular. Demokrasi makin matang, maju dan celik politik”.

UMNO ditolak dalam PRU 12 kerana keputusan yang dibuat Kerajaan tidak memihak dan menjaga kepentingan rakyat kerana Kepimpinan tidak mendengar hasrat akar umbi. “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Imej dan Perjuangan UMNO perlu membayangi aspirasi akar umbi yang mereka pimpin.

“Rakyat ini hilang keyakinan dan marah kepada BN dan UMNO”. Beliau menegaskan. Walaubagaimanapun, beliau tidak begitu yakin Pakatan Rakyat dengan mudah dapat menubuhkan Kerajaan kerana calon pemimpin mereka bukanlah dari golongan yang cukup mantap. “Yang penting UMNO perlu kembalikan usaha meyakinkan rakyat, memperkuatkan parti dan ubah budaya.

Keadaan yang berlaku hari ini ialah pada orang Bukan Melayu, parti komponen BN terlalu mengikut kehendak UMNO sehingga mereka ditolak sama sekali. Walaubagaimanapun, pada orang Melayu, UMNO dilihat terlalu berkompromi kepada desakan orang Bukan Melayu.

“Krisis yang melanda hari ini ialah mengenai nilai dan Kepimpinan” ujar Tengku Razaleigh. Kelemahan Kepimpinan ialah untuk melaksanakan visi asal UMNO ditubuhkan. Orang UMNO hari ini sanggup memberikan sokongan mereka kepada PAS dan PKR dan membelakangkan UMNO kerana mereka mempunyai persepsi bahawa Pembangkang itu lebih jujur, amanah, bersih dan adil. UMNO hari ini bertanggung jawab untuk membuktikan persepsi ini salah dan UMNO sebenarnya masih relevan.

UMNO didesak perlu menghapuskan persepsi ianya sebuah ‘parti elitis’ dan menangkis tohmahan bahawa UMNO hari ini lebih bersifat ‘liabiliti’, terutama sebagaimana yang dialami parti komponen BN.

“Dasar parti ialah untuk kepentingan Bangsa dan Negara, Bukan untuk Bangsa dan Negara lain”, sebagai gesaan terutama tindakan Kepimpinan hari ini dilihat memberikan kelebihan pada pihak lain, termasuk luar.

Di akhir ucapan, Tengku Razaleigh mengaris langkah yang perlu UMNO lakukan untuk kembali relevan:

1. UMNO perlu mengekalkan semangat Kebangsaan, tanpa mengadaikan roh Islam yang didukungnya.
2. Kuatkan sistem oganisasi dengan elemen innovatif, dinamik dan proaktif mutu Kepimpinan
3. UMNO perlu ditingkatkan setara seluruh peringkat dan tidak bergelumang dengan persepsi seperti rasuah dan kronisma.

Ini merupakan ucapan paling komprehensif Tengku Razaleigh pernah berikan, yang dibuat atas platform UMNO dalam konteks ‘membaikan’ parti nasionalis Melayu yang berusia 62 tahun itu.

UMNO Batu Pahat - Peralihan Kuasa ialah proses “Merakyatkan UMNO”

Ketua Penerangan UMNO Johor YB Dr. Hj. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan bahawa proses ‘Peralihan Kuasa dan Kepimpinan’ yang digesa akar umbi keatas Kepimpinan, agar PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebelum Disember 2008 adalah model Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menyerah kuasa kepada Tun Razak’ dan merupakan proses “Merakyatkan UMNO”.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat membuat desakan ini dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat pagi Sabtu 26hb April.

“UMNO perlu diselamatkan” dan Mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor juga memberikan contoh UMNO hari ini berada dalam keadaan umpama “Alice di Wonderland yang telah sampai ke persimpangan” dan juga mengunakan puisi Dato’ Usman Awang mengenai ‘Surat dari masyarakat burung kepada Dato’ Bandar’.

Usul kemudianya dibentang Aziz Ismail dan disokong oleh Hj. Shahril Hj, Abdul Karim. Usul akan dibahaskan iaitu:

1. Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) diadakan,
2. Segerakan Plan Peralihan Kuasa,
3. Desak adakan ‘Peralihan Kuasa’ sebelum Disember 2008,
4. Mengkaji punca rakyat marah, kekalahan BN dan faktor famili,
5. Laksana Perlembagaan tanpa kompromi ke atas Islam dan Melayu.

Friday, April 25, 2008

Muhyiddin: “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”


Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin malam ini mengaku bahawa “Kuasa Pimpinan Melayu kini sudah terhakis” dan “Orang Melayu kini berada di tepi tebing tinggi dan merasa gayat”.

Beliau mengatakan demikian semasa memberi ucaptama dalam Forum Permuafakatan Melayu anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (Selangor/Wilayah Persekutuan), di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Khamis 24hb April 2008.

Sebagai seorang pemimpin peringkat no. 3 dalam UMNO, beliau secara jujur mengatakan keperluan ujud usaha besar dan radikal, hari ini, untuk membela nasib Bangsa Melayu dan mengatasi masalah Kepimpinan UMNO. Gesaan juga dibuat agar orang Melayu bersatu semula dibawah UMNO.

Ini diperkuatkan lagi dengan contoh semasa UMNO mengalami krisis dalam 1988, orang Melayu Johor telah mengadakan satu konvensyen khas di mana sebuah ketetapan dibuat, “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”.

“Teruskan usaha (untuk mengembeling segala perpaduan Melayu) dan elok adakan konsultansi (perundingan) dengan Kepimpinan (UMNO). Orang Melayu juga mesti ikhlas menegur Kepimpinan (UMNO)” pesan Mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor selama sembilan tahun itu, disamping “UMNO adalah milik orang Melayu”, dalam merujuk kepada konvensyen Perpaduan Melayu yang bakal dianjurkan GAPENA di Persada, Johor Bahru, Johor pada 2 dan 3 Mei 2008 dan akan dirasmikan oleh DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al Haj.

Ini mungkin akan menjadi lembaran baru bari Perjuangan Bangsa Melayu kerana DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim juga merasmikan persidangan NGO Melayu seMalaya, yang berthemakan ‘Nasionalism Melayu’ dan menyaksikan Perwakilan bersetuju untuk kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946, dalam Istana Besar, Johor Bahru, Johor.

Seorang pengkaji sejarah terkenal Dato’ Dr. Malik Munip pula menjelaskan bahawa orang Melayu sebenarnya gagal ‘menjelaskan’ (articulate) sejarah dengan komprehensif dan tepat, termasuk merangkaikan dengan hujah dan rujukan yang relevan dan bernas. Contoh yang diberikan ialah dakwaan Pembangkang bahawa Perjuangan UMNO menjurus kepada “Assabiah”. Mengambil tulisan sejarawan terkenal British Arnold Toynbee, yang amat meminati falsafah yang diketengahkan oleh ilmuan kurun ke XIV kelahiran Tunisia Ibnu Khaldun, yang menyebut “Tiada masyarakat yang boleh mencipta kejayaan dan kegemilangan tamadun tanpa semangat ‘kekitaan’ (Espirit De Corp)”.

Dr. Malik juga dengan tegas mengupas pegangan nafas dan roh semasa penubuhan UMNO, bahawa elemen ‘Kebangsaan’ (Nationalism) menjadi tunggak asas Perjuangan “Aspirasi Kebangsaan Melayu mesti menjadi aspirasi Nasional”, yang mula-mula sekali ditegaskan oleh Pendita Za’aba.

Mantan Pensyarah Kanan Kajian Melayu Universiti Malaya Prof. Dato’ Dr. Zainal Kling pula mengutarakan ‘Kedaulatan Melayu’ perlu dikupas dan direncanakan melalui sudut Perlembagaan, Politik (prinsip Perjuangan), Ekonomi serta Kebudayaan, Ugama dan Pendidikan, termasuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai teras rakyat Malaysia, sebagaimana yang akan dipersembahkan dan bincangkan dengan khusus di Johor Bahru 2-3 Mei ini.

Semasa sessi soal jawab, persoalan yang paling banyak diutarakan ialah Pelan Peralihan Kuasa dan post mortem Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12).

Saturday, April 12, 2008

UMNO PJ Selatan: Perdana Menteri sewajarnya undur setelah PRU 12

Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapt. (B) Dato’ Zahar Hashim malam ini menegaskan bahawa dalam sebuah negara maju, Kepimpinan sewajarnya telah meletakan jawatan apabila parti yang dipimpin itu mengalami penyusutan sokongan rakyat dan prestasi menurun dan tidak sebaliknya mendabik dada cuba member alasan yang dikira sebagai ‘memutar belitkan’ maklumat (spin). Yang dimaksudkan ialah kenyataan PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah keputusan Pilihanraya Umum ke XII 8 Mac 2008.

Ahli UMNO PJS telah menyertai dua program melibatkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Ini dijelaskan Kapt. Zahar lagi sebagai hak ahli dan sesekali tidak bermaksud penyertaan ini melambangkan mereka anti Perdana Menteri hari ini.

Ini merupakan ucapan pembukaan pertemuan tertutup antara Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dengan UMNO PJS di Dewan Serbaguna PJS 4. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Perhubungan UMNO Selangor YB Dato’ Raja Idris dan Ketua Wanita UMNO Selangor Datin Paduka Syarifah Noli. 350 orang Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan dan AJK Cawangan UMNO seluruh Petaling Jaya Selatan hadir di majlis ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau amat konsisten dengan kritikan ke atas Perdana Menteri dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dan pentadbiran kerajaan hari ini semenjak tahun 2005. Walaubagaimanapun, segala kritikan yang dibuat oleh Kapt. Zahar dilakukan dalam forum forum tertutup anjuran UMNO.

Dalam ucapanya, Tan Sri Muhammad menyentuh mengenai masalah dalaman UMNO seperti soal kesetiaan dan UMNO sendiri sudah tidak lagi mendekati akar umbi dan rakyat. Beliau tidak langsung menyentuh mengenai PM Dato’ Seri Abdullah dan menantunya YB Khairy Jamaluddin, sebagai faktor utama penyebab UMNO hari ini sudah tidak lagi diyakini dan mendapat sokongan rakyat.

Apabila Ketua Cawangan UMNO PJS mula bercakap, mereka menyalahkan Perdana Menteri ke atas apa yang UMNO alami pada PRU 12 dan mahukan perletakan jawatan serta merta. 3 Ketua Cawangan menambah dengan menyebut nama “Khairy Jamaluddin” dengan terang, sebagai faktor utama kenapa rakyat menolak UMNO/BN. Timbalan Pengerusi Tetap UMNO PJ Selatan Yahya Samad, seorang veteran UMNO yang telah menjadi ahli semenjak 1963, dengan lantang mendesak agar Perdana Menteri meletakan jawatan dengan segera.

Desakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dalam PJS agar Perdana Menteri untuk berundur secara terhormat ini adalah untuk menyelamatkan maruah, sebelum beliau mendapat pencalonan sedikit dan menerima malu yang lebih besar.

Dalam ucapan pengakhir pertemuan, Tan Sri Muhammad menberi alasan bahawa Perdana Menteri bukanlah faktor utama kekalahan UMNO di 5 + 1 negeri, gagal meletakan Menteri Besar pilihan atas 2 negeri dan prestasi menurun dalam 5 negeri lain semasa PRU 12. Alasan ini ialah kerana Johor, Melaka dan Negeri Sembilan belum lagi jatuh kepada Pembangkang. Menurut beliau lagi, sebab utama kekalahan UMNO/BN di Selangor ialah faktor ‘kuil Hindu’, ‘penyapu’, isu ‘Keris’ yang dilihat Bukan Melayu sebagai angkuh, faktor Anwar Ibrahim dan Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas bahawa pemimpin UMNO hari ini seolah berada dalam ’sindrom penafian’ (denial syndrome) dan pendekatan yang dibawa, walaupun semasa bertemu akar umbi akan mengakibatkan ahli UMNO makin meluat kepada Kepimpinan.

Monday, March 31, 2008

Sekali Air Bah

Sekali air bah belum tentu pantai berubah.

Begitulah perasan akar umbi UMNO hari ini pasca PRU12.

Setelah dilanda bah besar tsunami 8hb MAC 2008, ramai ahli UMNO dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa mengharapkan suatu perubahan besar akan berlaku di dalam parti. Harapan mereka tersentak sebentar apabila ada cadangan pemilihan UMNO 2007 yang telah ditunda ke tahun ini ditunda lagi ke 2009.

Walau pun keputusan dibuat pemilihan akan berlangsung pada Disember 2008, ramai yang rasa tertipu. Mereka masih mengharapkan ia akan berlansung pada bulan Ogos seperti yang dijadualkan sungguh pun ada yang menuntut seawal April atau Mei. Apa bezanya Disember 2008 dengan 2009?

Tidak kurang ramai juga merasakan tiada perubahan besar bakal berlaku dalam pemilihan ini. “Sistem patronage” serta corak pemilihan amalan UMNO hari ini memberikan kelebihan kepada pemimpin di setiap peringkat mengekalkan kedudukan mereka.

Tambahan pula hari ini pucuk pimpinan UMNO dengan jelas menyatakan sistem kuota yang diamalkan kekal. Sesungguhnya sistem kuota ini telah membunuh demokrasi di dalam parti.

Sistem ini juga yang telah menjadikan UMNO sebuah organisasi di mana ahli mengutamakan kehendak pihak atasan daripada peringkat akar umbi apatah lagi orang luar parti. Kesannya UMNO tidak lagi berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah parti politik untuk kepentingan rakyat tetapi lebih menurut cita rasa pemimpinnya.

Masih tidak nampakkah kita mengapa masyarakat khususnya orang Melayu hilang rasa pertalian mereka dengan UMNO?

UMNO perlukan perubahan bagi mengembalikan keyakinan ahli dan rakyat kepada parti. Apakah mungkin ia berlaku tanpa melakukan perubahan terhadap sistem dan struktur organisasi.

Hari ini keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional telah terhakis di 5+1 buah negeri . Begitu juga halnya dengan dua buah istana.

Kalau tetap tidak berubah juga, tiada bahtera yang dapat menyelamatkan UMNO di dalam bah besar akan datang.



Thursday, March 27, 2008

Malapetaka Untuk Akar Umbi UMNO

Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib ahli akar umbi UMNO ekoran PRU12 8 Mac lalu.

Lapuran akhbar menyatakan beberapa badan perhubungan negeri UMNO menyokong cadangan agar pemilihan UMNO 2007 yang telah ditunda ke tahun ini ditunda lagi ke 2009.

Atas apa alasan sekali pun cadangan dibuat, ia akan dilihat sebagai satu usaha menidakkan hak ahli umno. Sudahlah ditolak pengundi di banyak kawasan termasuk DUN Taman Medan, kini ahli UMNO di peringkat akar umbi pula terancam dipinggir oleh kepimpinan mereka sendiri.

Sekiranya ini berlaku kita takut akan tiba masanya Bangsa Melayu akan memilih untuk bergerak sepenuhnya tanpa UMNO. Tidak mustahil ia berlaku kerana UMNO lahir dari gerakan Bangsa Melayu. Bukan UMNO yang melahirkan gerakan Bangsa Melayu.

Apakah akan tiba masanya ahli-ahli akar umbi UMNO terpaksa memohon kepada Istana - tempat kelahiran parti keramat ini - bagi menyelamatkannya?
Itu pun kalau ada lagi Istana yang masih sudi bergerak bersama UMNO.

Wednesday, March 26, 2008

Asas Dan Tujuan UMNO

Masa dan keadaan memanggil kita untuk memperingati Perlembagaan UMNO khusus mengenai asas dan tujuan penubuhannya.

FASAL 3 ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Sama-samalah renungkan dan hayatinya.

Tuesday, March 25, 2008

Hanya imam bertauliah dibenar bertugas – Sultan Selangor

Menyembah kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas titah baginda agar masjid-masjid seluruh negeri Selangor bebas daripada khutbah, ceramah serta lain-lain aktiviti politik.

“Masjid dan surau adalah tempat suci yang digunakan untuk beribadat dan janganlah ia digunakan sebagai gelanggang bagi parti-parti politik mengadakan ceramah dan perkara lain untuk kepentingan politik mereka,” titah baginda.

Selanjutnya.







Monday, March 24, 2008

Exco Baru Selangor Mengangkat Sumpah

Empat orang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan masing-masing tiga dari PAS dan DAP angkat sumpah jawatan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor di depan Sultan Selangor pagi Isnin.

Dari PKR ialah Yaakob Sapari (Kota Anggerik), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas) manakala PAS, Dr Hassan Ali (Gombak Setia), Dr Halimah Ali (Selat Kelang) dan Iskandar Abdul Samad (Cempaka) .

DAP pula Teresa Kok (Kinrara) ,Ronnie Liu (Pandamaran) dan Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan).

Jawatan Timbalan Menteri Besar belum diisi setakat ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri serta Belia dan Sukan, Yaakob (Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan), Rodziah (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), Wong (Pelancongan, dan Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Jayakumar (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan, dan Kerajaan Prihatin).

Kok memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan) dan Yong (Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram).

Hassan pula memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Halimah (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan) dan Iskandar (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan).

Thursday, March 13, 2008

Perjuangan Belum Selesai


"Setiap undi untuk MCA adalah setiap undi untuk UMNO"

Begitulah ungkapan pilihanraya berbaur perkauman DAP sepanjang kempen PRU12 lalu. Sungguh pun ia dituju kepada UMNO umum tahu hasrat sebenar mereka untuk melemahkan bangsa Melayu sendiri.

Hari ini belum sampai pun seminggu mendapat mandat rakyat, DAP mula menunjuk belang mereka.

Sejurus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Baru Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng mengumumkan pemansuhan Dasar Ekonomi Baru di negeri tersebut dan menyatakan nasib semua kaum adalah sama.

Terbaru, DAP melalui Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya telah bersikap biadap terhadap Raja Melayu apabila memutuskan untuk memulau Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak yang telah diperkenankan oleh Sultan Perak.

Sesungguhnya perjuangan bangsa Melayu masih jauh lagi penyelesaiannya. Hanya UMNO sahaja yang dapat melaksanakannya. UMNO merupakan Parti Melayu yang menerima kepercayaan terbesar rakyat di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Malahan di Selangor dan Perak UMNO merupakan parti yang paling banyak memenangi kerusi DUN.

Tanpa Bangsa Melayu yang kuat dan maju, negara akan lemah. Perjuangan UMNO untuk Agama, Bangsa dan Negara adalah untuk semua.

Wednesday, March 12, 2008

UMNO Parti Melayu Paling Unggul

Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berikrar memastikan kerajaan baru negeri itu yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengotakan janji-janji dalam manifesto mereka.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga berikrar menjadikan BN sebagai barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan segala yang dibina oleh parti itu sebelum ini dijaga dengan baik oleh kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS itu.

Walaupun tewas, BN Selangor sebenarnya lebih kuat berbanding kerajaan campuran itu kerana BN memenangi 20 kerusi berbanding parti-parti yang memerintah iaitu PKR hanya menang 15 kerusi, DAP (13) dan PAS (8).

UMNO juga masih lagi kuat dengan memperolehi kerusi Melayu terbanyak sebanyak 18 berbanding dengan PKR (9), PAS (8) dan PSM (1).

Berita selanjut dari Bernama.

Tuesday, March 11, 2008

Terima Kasih Buat Semua

Terima kasih kepada semua ahli UMNO serta parti-parti komponen Barisan Nasional dan orang awam khususnya para pengundi kawasan Seksyen 14 Utara dan Seksyen 14 Selatan yang telah memberikan sokongan dan sumbangan kepada semua aktiviti Jentera Pilihanraya Umum Ke 12 UMNO bagi Zon 12 DUN N33 Taman Medan.

Bagi pihak UMNO kami mohon maaf atas keputusan mengecewakan yang tidak setimpal dengan segala pengorbanan semua sepanjang tempuh berkempen.

Hanya ALLAH yang dapat membalas kembali usaha perjuangan anda
demi Agama, Bangsa dan Negara.

Ikhlas dari :

UMNO Cawangan Inai Merah
UMNO Cawangan Seksyen 14
UMNO Cawangan MJ Setia
UMNO Cawangan MJ9
UMNO Cawangan PJS Indah
UMNO Cawangan Pinggiran Gasing
UMNO Cawangan Generasi Gemilang

Friday, March 7, 2008

"Hanya Orang Taman Medan Untuk Taman Medan"

Munaliza bidas Haniza
Oleh Ahmad Nazri Mohamad
ahmadnazri@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya nak bagi tahu Haniza, orang Taman Medan tak perlukan orang luar untuk perjuangkan hak kami,” demikian kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Munaliza Hamzah pada calon lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Mohd Talha.


Munaliza begitu ‘tersentuh’ apabila Haniza berlagak ‘heroin’ dengan berjanji mahu mencadangkan pembinaan pusingan U sebelum sampai Plaza Tol PJS2 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) bagi menyelesaikan masalah penduduk Kampung Datuk Harun di Petaling Jaya jika dipilih sebagai wakil rakyat, kelak.


Sejak bayaran tol dikenakan di NPE, penduduk Kampung Datuk Harun terpaksa membayar di Plaza Tol PJS2 yang terletak 300 meter dari persimpangan jalan keluar masuk ke penempatan mereka.


“Saya tahu masalah penduduk Taman Medan sebab saya sendiri duduk dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Ahli Majlis MBPJ).


“Saya dan Ahli Majlis lain sudah berbuih mulut minta mempercepatkan jalan alternatif untuk elak bayar tol, orang Umno dan MIC di Taman Medan sudah lama memperjuangkannya.


“Kita mahukan jalan tak ada tol, tetapi kita ambil kira semua perkara sebelum bina, demi kepentingan semua,” katanya yang lebih mesra dipanggil Kak Muna ketika dihubungi, semalam.


Haniza dalam satu kenyataan, berikrar akan mencadangkan kepada pemegang konsesi supaya membina satu pusingan U sebelum sampai di Plaza Tol PJS2 sebagaimana pusingan di Plaza Tol PJS1.

Dari Harian Metro : Jumaat 7hb Mac

Thursday, March 6, 2008

Manifesto Pemimpin Tempatan - Calon BN N33

Puan Munaliza binti Hamzah hari ini mengeluarkan manifesto pencalonan beliau sebagai pemimpin masyarakat tempatan bagi kawasan DUN N33 Taman Medan :




Masyarakat Taman Medan memerlukan calon yang benar-benar memahami keperluan mereka.

Wednesday, March 5, 2008

Sorotan 1 22FEB08 : Majlis Memperkenalkan Calon

Majlis Memperkenalkan Calon PRU12 Barisan Nasional P105 Petaling Jaya Selatan & N33 Taman MedanKepada Jentera Pilihanraya UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan



Calon baru BN N33 Taman Medan Munaliza Hamzah
bersalam dengan Datuk Ir Donald Lim
yang akan mempertahankan kerusi P105 PJ Selatan



Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan
Y Bhg Dato' Kapten(B) Haji Zahar Hashim



Calon BN N33 Taman Medan Munaliza Hamzah dan

P105 Petaling Jaya Selatan Dato' Ir Donald Lim Siang Chai

Ketua Pergerakan Wanita UMNO
Bahagian Petaling Jaya Selatan
Puan Munaliza binti Hamzah
Calon BN N33 DUN Taman Medan

Tuesday, March 4, 2008

N33 Taman Medan : Antara Khidmat dan Suara

Calon BN bagi N33 Taman Medan Munaliza Hamzah
mengharungi hujan bertemu pengundi.

Antara perkhidmatan untuk masyarakat atau suara di Dewan Undangan Negeri. Begitulah intipati pilihan bagi para pengundi Seksyen 14 Utara dan Seksyen 14 Selatan serta 11 peti undi lain bagi kawasan DUN N33 Taman Medan 8hb Mac nanti.

Dua peti undi Seksyen 14 merupakan antara 13 kawasan DUN Taman Medan yang terdiri daripada berbagai lapisan masyarakat. Kepelbagaian ini membuat ujudnya perbezaan aspirasi serta tuntutan di kalangan para pengundi.

Seksyen 14, rata-rata pengundi terdiri daripada golongan menengah atas. Umumnya golongan ini sudah pun menikmati serta mempunyai segala keperluan asas yang diperlukan. Kerana itu harapan mereka terhadap wakil rakyat melampaui perkhidmatan kemasyarakatan dari wakil mereka.

Aspirasi golongan ini lebih kepada samada wakil mereka mampu menjadi suara di Dewan Undangan Negeri. Mereka menuntut agar pendirian mereka terhadap isu-isu sejagat seperti membasmi rasuah, keadilan, ketelusan dan kepentingan umum dibahaskan.

Kini Taman Medan sedang melalui proses perubahan struktur sosioekonomi yang pesat. Tiada lagi penempatan peneroka bandar. Bagi Seksyen 14 penempatan Kg Sri 14 telah ditutup pada tahun 2001 dan kini di tapaknya berdiri Menara Millenium. Taman Medan kini berstatus sifar setinggan di mana semua penduduk mempunyai kemudahan asas dalam kehidupan mereka.

Namun masih ramai penduduk DUN Taman Medan terdiri daripada golongan menengah rendah dan miskin - kumpulan yang masih memerlukan bantuan dan khidmat langsung daripada wakil mereka.

Berdasarkan hakikat ini, Barisan Nasional mengemukan Ketua Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Munaliza binti Hamzah sebagai calon yang telah terbukti rekod perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan menengah rendah dan miskin.

Bagi pengundi Seksyen 14, kepentingan umum harus diutamakan. Kebajikan serta kepentinggan umum menjadi pilihan. Bukannya hak serta tuntutan peribadi.

Monday, March 3, 2008

Tradisi Membela Rakyat - Teras Calon BN N33 Taman Medan


Puan Munaliza Hamzah Calon BN bagi N33 Taman Medan
memberi taklimat kepada masyarakat setempat


Meneruskan tradisi membela dan berkhidmat untuk rakyat menjadi teras pencalonan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Puan Munaliza binti Hamzah, sebagai calon Barisan Nasional bagi DUN N33 Taman Medan bagi Pilihan Raya Umum Ke 12 pada 8hb. Mac nanti.

Pengalaman selama 12 tahun sebagai setiausaha kerja dan pegawai khas kepada 2 orang wakil rakyat menyakinkan pucuk pimpinan parti memilih beliau sebagai calon menggantikan Abdul Wahab bin Ibrahim sebagai wakil rakyat bagi DUN N33 Taman Medan.

Bermula sebagai setiausaha kerja ADUN Lindungan dan kemudian Taman Medan YB Kapt (B) Dato' Hj. Zahar Hashim pada tahun 1995 hingga 1999 dan sebagai pegawai khas Ahli Parlimen Sepang YB Datin Paduka Seripah Noli hingga 2002 memberikan beliau pendedahan luas bagi tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

Berkhidmat untuk masyarakat dengan dua orang wakil rakyat ini memberikan Puan Munaliza pendedahan menyeluruh di kedua-dua peringkat perwakilan negeri dan persekutuan. Dipertanggung jawabkan untuk membuat kaji selidik dan persediaan bagi isu-isu yang perlu dibincang di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen menjadikan beliau sebagai calon yang mampu menyuarakan hasrat rakyat di peringkat negeri Selangor.

Di samping itu sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sejak 2004 melengkapkan pendedahan beliau kepada ketiga-tiga peringkat perwakilan negara.

Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya, Puan Munaliza secara langsung terlibat menangani keperluan serta masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Melalui sejumlah 105 cawangan UMNO di Kawasan Taman Medan, lebih 4000 keluarga secara langsung mendapat perhatian serta pembelaan beliau dan pergerakan wanita tersebut. Khidmat beliau kepada masyarakat setempat diperluaskan lagi selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM), Parlimen Petaling Jaya Selatan dan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Di peringkat tertinggi, Puan Munaliza terlibat dengan isu-isu nasional melalui tugasan beliau selaku Setiausaha Kerja Pusat Pergerakan Wanita UMNO.

Berbekalkan pengalaman di ketiga-tiga peringkat kerajaan serta perkhidmatan di akar umbi masyarakat setempat dan penglibatan peringkat nasional, pencalonan Puan Munaliza binti Hamzah bagi DUN Taman Medan menjanjikan kesinambungan Tradisi Membela Rakyat Kerajaan Barisan Nasional.

Sunday, March 2, 2008

Kawasan Mengundi PRU12 Zon 12 - N33 Taman Medan

Zon 12 Dewan Undangan Negeri N33 Taman Medan di dalam Parlimen P105 Petaling Jaya Selatan merangkumi kawasan-kawasan Seksyen 14 Utara dan Seksyan 14 Selatan.

Sebahagian daripada kawasan Seksyen 19 sepanjang jalan 19/1 juga termasuk di dalam kawasan Seksyen 14 Utara.

Bagi kawasan Seksyen 14 bersempadankan Sungai Pencala, Jalan Semangat dan Jalan Utara pula terletak di dalam kawasan Dewan Undangan negeri N34 Bukit Gasing.

Bagi Pengundi Zon 12, tempat-tempat pembuangan undi pada 8 Mac nanti adalah :
  • Seksyen 14 Utara di SRK Sri Petaling Jalan 12/15
  • Seksyen 14 Selatan di SMK sri Utama Jalan 227


Peta untuk Seksyen 14 Utara


Pangkah X berwarna kuning menandakan tempat pembuangan undi.

Peta untuk seksyen 14 selatan

Pangkah X berwarna kuning menandakan tempat pembuangan undi.

Saturday, March 1, 2008

Biodata Calon Barisan Nasional P105 PJ Selatan





NAMA : Dato' Ir. Donald Lim Siang Chai
TARIKH LAHIR : 17 Disember 1955





KELAYAKAN AKADEMIK/PROFESSIONAL
  • Ahli Institusi Jurutera Malaysia (MIEM)
  • Ahli Institusi Jurutera Elektrikal, UK (MIEE)
  • Jurutera Bertauliah, UK (C. ENG)
  • Ahli Persatuan Ciptaan dan Rekaan Malaysia
  • Ahli Institut Pengurusan Malaysia (MMIM)
  • Diploma Lanjutan Dalam Teknologi, Kolej TAR
  • Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Deakin University, Australia

POLITIK

  • Bekas Timbalan Menteri Pelancongan
  • Bekas Timbalan Menteri Penerangan
  • Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pengangkutan
  • Naib Presiden MCA Kebangsaan
  • Ahli Majlis Presidentsial MCA Kebangsaan
  • Pengerusi Biro Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA Kebangsaan
  • Pengerusi MCA Bahagian PJ Selatan
  • Pengerusi Barisan Nasional Bahagian PJ Selatan
AKTIVITI SOSIAL

  • Bekas Presiden Persatuan Elektrikal dan Elektronik Malaysia (TEEAM)
  • Penasiaht Persatuan Keturunan Lim Malaysia
  • Penasihat Gerakan Belia Bersatu Malaysia
  • Presiden Kehormat Pertubuhan Belia Xiang Lian Malaysia
  • Penasihat Pertubuhan Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Petaling Jaya
  • Penasiahat Persatuan Perniagaan dan Perdagangan Petaling Selangor
  • Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Kopi, Bar dan Restoran Petaling Jaya
  • Penasihat Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Petaling Jaya
  • Penasihat Persatuan Perkuburan Petaling Jaya
  • Penasihat Persatuan Gabungan Perayan Por Tor Petaling
  • Penasihat Persatuan Komuniti Penjaja-Penjaja Petaling Jaya
  • Ahli Kelab Rotary Petaling Jaya
SUKAN
  • Presiden Kelab Golf Negara Subang
  • Presiden Persekutuan Catur Cina (Xiang Qi) Malaysia
  • Bekas Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia
  • Pengerusi Persatuan Ping Pong Daerah Petaling

Biodata Calon Barisan Nasional N33 Taman Medan

NAMA : Munaliza Binti Hamzah
UMUR : 44 Tahun
TARIKH LAHIR : 20 Julai 1963

PENDIDIKAN :

Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
SMK Tuanku Muhamad Kuala Pilah


PENGALAMAN BEKERJA

1991 - 1994 : Setiausaha Kerja Perkhidmatan Masyarakat Pejabat ADUN Lindungan
1995 - 1997 : Setiausaha Kerja Perkhidmatan Masyarakat Pejabat ADUN Taman Medan
1997 - 1998 : Pengurus Pembangunan Perniagaan Mentari Corporation Sdn Bhd
1998 - 2002 : Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Sepang
2002 - 2008 : Ketua Setiausaha Kerja UMNO Bahagian PJ Selatan
2006 - 2008 : Setiausaha Kerja Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
2004 - sekarang : Ahli Majlis MBPJ

BIDANG TUGAS
  1. Bersama ADUN/Ahli Parlimen meyelesai masalah rakyat.

  2. Merancang dan melaksanakan program-program yang bersesuaian untuk masyarakat setempat.

  3. Mewakili ADUN/Ahli Parlimen ke mesyuarat jawatankuasa pembangunan daerah.

  4. Membuat kajiselidik dan menyediakan isu-isu yang ingn dibangkit dan dibahas di dalam persidangan Parlimen / Dewan Undangan Negeri.







Friday, February 22, 2008

Calon UMNO N33 DUN Taman Medan

Barisan Nasional Selangor mengumumkan muka baru Puan Munaliza Hamzah sebagai calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N33 Taman Medan bagi Pilihanraya Umum Ke 12 pada 8hb Mac 2008 nanti.


Puan Munaliza Hamzah seorang Ahli Majlis Dewan Bandaraya Petaling Jaya merupakan Setiausaha Kerja Wanita UMNO merangkap Ketua UMNO Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan..

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM), Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Calon Dalam Media

Calon Muka Baru Tunjuk Semangat Hadapi Pilihan Raya Umum Mac Ini

Gejala sosial remaja perlu kukuhkan jati diri

Wanita UMNO Malaysia adakan solat hajat

Kenapa susah namakan jalan, bangunan dengan nama wanita



Monday, February 18, 2008

Peta Zon 12 - N33 Taman Medan & P105 Petaling Jaya Selatan

Peta untuk Seksyen 14 Utara



Peta untuk seksyen 14 selatan


Pangkah X berwarna kuning menandakan tempat pembuangan undi.

Saturday, February 16, 2008

PM Berterima Kasih Al-Azhar Iktiraf Malaysia Negara Islam Contoh

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 adalah satu pengiktirafan terhadap negara ini sebagai negara Islam contoh di mata dunia.

Perdana Menteri berkata beliau difahamkan ini adalah kali pertama multaqa itu diadakan di luar Mesir.

"Sehubungan itu, saya ingin menyatakan rasa berbesar hati bagi pihak rakyat Malaysia kerana negara ini telah dipilih sebagai tuan rumah. Terima kasih saya ucapkan kepada Sheikhul Al-Azhar," katanya semasa berucap merasmikan multaqa itu di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia tetap komited dan sentiasa mengambil berat permasalahan ummah bukan sahaja di kalangan warganya sendiri bahkan bagi umat Islam sejagat.

"Selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia telah berusaha memainkan peranan penting dan bermakna bagi menangani permasalahan umat Islam secara holistik.

"Ini termasuk memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan ekonomi dan modal insan negara-negara anggota. Namun kita sedar bahawa tanggungjawab ini begitu besar serta memerlukan strategi dan pelan pelaksanaan yang jitu serta sokongan padu daripada negara anggota," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Sheikhul Al-Azhar Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi. Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara berhimpun di persidangan empat hari itu.

Pada persidangan akhbar selepas itu, Abdullah berkata Universiti Al-Azhar berjasa besar kepada Malaysia kerana selain memberi pendidikan kepada anak-anak muda negara ini, institusi itu juga mempunyai peranan dalam sejarah Malaysia khususnya dalam perjuangan kemerdekaan.

"Kalau kita kaji sejarah tercetusnya gerakan-gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan pada masa dulu, kita akan dapati bahawa pelajar-pelajar dari Timur Tengah terutama sekali dari Al-Azhar yang memulakan kebangkitan itu.

"Peranan mereka pada peringkat awal adalah amat penting sekali kerana telah menyebarkan semangat nasionalisme, semangat untuk menuntut kemerdekaan," katanya.

Abdullah berkata lulusan Al-Azhar juga banyak memberi sumbangan kepada pembangunan pengajian Islam di negara ini.

"Dengan lain perkataan, golongan ini satu-satunya golongan yang cukup berpengaruh terutama sekali bagi masyarakat Melayu," katanya.

-- BERNAMA

Pemikiran Sempit Umat Jadi Musuh Berbahaya Islam, Kata PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pemikiran sempit di kalangan umat Islam adalah 'musuh' paling bahaya bagi mereka pada masa kini.

Beliau berkata kesempitan pemikiran itu bukan saja menyebabkan mereka menolak kemajuan tetapi juga boleh memudahkan tugas musuh Islam untuk menyebarkan dakyah mereka.

"Sesungguhnya pandangan sempit sebegini amat berbahaya dan jika dibiarkan merebak di kalangan umat Islam maka lama-kelamaan mereka akan menjadi golongan yang ekstrem.

"Sebenarnya pemikiran sempit ini adalah racun kepada pemikiran kita (umat Islam)," katanya berucap merasmikan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di sini.

Perdana Menteri seterusnya menyeru agar para ulama dan pemikir Islam mencari jalan untuk membetulkan perkara itu dan menunjukkan landasan sebenar yang perlu dilalui umat Islam pada masa kini.

Mengulas lanjut mengenai 'musuh berbahaya' Islam itu, Abdullah berkata ruang kosong akibat pemikiran sempit itu akan memberi ruang kepada musuh Islam untuk menanam pemikiran-pemikiran yang merosakkan, dan jika tidak dibendung dari awal akan menjadi barah dan merebak secara lebih meluas.

"Kesempitan pemikiran di kalangan umat Islam merupakan masalah asas yang perlu ditangani dengan segera. Sebagai contoh mereka ini mentafsir Islam mengikut pemahaman sendiri yang serba terbatas. Islam dilihat daripada sudut yang terlalu sempit," katanya.

Perdana Menteri turut menggariskan serangan pengaruh dan dakyah musuh-musuh Islam sebagai satu lagi masalah berbahaya, sama ada yang menular secara terang-terangan mahupun secara berselindung.

"Pelbagai dakyah tersebar secara tidak terbatas, lebih-lebih lagi menerusi ruang maya atau internet yang dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan.

"Dalam menghadapi suasana semasa ini, saya berpendapat bahawa para ulama dan pemikir Islam perlu bangkit menyatakan pendirian dan buah fikiran mereka bagi mencari jalan agar umat Islam berada pada landasan yang benar," katanya.

Abdullah berkata peranan ulama dan pemikir Islam adalah amat penting bagi mengikis persepsi sesetengah pihak yang berat sebelah dan melabelkan Islam sebagai agama menganjurkan keganasan.

"Dalam hal ini, para ulama dan pemikir Islam perlu bersatu dalam menyatakan pendirian mereka yang berupaya mengembalikan citra umat Islam sebagai umat yang disegani dan dihormati, bukan umat yang dikeji dan boleh dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam juga harus bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka begitu lemah dalam menyelesaikan masalah mereka.

"Tentunya kekurangan upaya ini (untuk menyelesaikan masalah sendiri)datang dari dalam negara kita sendiri dan perlu dikenal pasti," katanya menambah kata bahawa punca utama adalah kelemahan ekonomi sesebuah negara.

Justeru, katanya, adalah menjadi kewajipan kemiskinan dan kemunduran ekonomi itu dibaiki kerana jika dibiar berterusan umat Islam akan bertambah lemah dan sekaligus boleh mendedahkan mereka kepada penindasan dan tekanan.

Beliau seterusnya mencadangkan negara-negara Islam yang mampu agar mengambil seramai mungkin pelajar dari negara Islam yang miskin untuk menimba ilmu yang kelak boleh diguna membangunkan negara sendiri.

"Di Malaysia, pendekatan yang kita guna adalah pembangunan modal insan untuk memacu usaha membangunkan ekonomi negara ini," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam juga perlu menoleh ke belakang dan melihat sejarah, dan tidak terlalu taksub mengejar masa depan.

"Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan bahawa kita hanya menjadi pemuja sejarah, pemuja nostalgia. Dari satu sisi mungkin benar anggapan tersebut. Namun dari sisi yang lebih luas, manusia perlu belajar daripada sejarah kerana sejarah tidak berdusta atau berbohong," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Abdullah berkata Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menerima pandangan yang diutara oleh ulama Universiti Al-Azhar kerana mereka adalah golongan yang berfahaman sederhana dari Sunnah Wal-Jamaah.

"Kebanyakan lepasan Al-Azhar di sini berada dalam institusi pengajian tinggi tempatan dan institusi kerajaan," katanya.

Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia boleh menerima pandangan yang dikemuka ulama Universiti Al-Azhar sekiranya mereka memberi cadangan dan saranan dalam konteks membetulkan pemikiran sempit yang wujud di kalangan umat Islam sekarang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyed Tantawi.

-- BERNAMA

Friday, February 15, 2008

Keputusan Pilihanraya Umum 2004


Rakyat Malaysia Mengundi Pada 8 Mac


PUTRAJAYA, 14 Feb -- Pengundian bagi pilihan raya umum ke-12 ditetapkan pada 8 Mac ini manakala penamaan calon ialah pada 24 Feb, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengumumkan hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telahpun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.

Seramai 10,922,139 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Feb lepas, katanya.

Abdul Rashid membuat pengumuman itu pada pukul 11.40 pagi ini di ibu pejabat SPR di sini dan ia disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

-- BERNAMA

Selamat Datang

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Blog UMNO Bahagian PJ Selatan Zon 12 - DUN Taman Medan.

Blog ini diadakan khusus untuk Pilihanraya Umum Ke 12 tahun 2008. Ia bertujuan untuk menjadi wadah komunikasi kepada pengundi-pengundi untuk mewar-warkan manifesto UMNO & Barisan Nasional, acara-acara kami dan berita-berita terkini untuk pengundi-pengundi kawasan DUN N33 Taman Medan dan Parlimen P105 Petaling Jaya Selatan khusus bagi peti-peti undi Seksyen 14 Utara dan Seksyen 14 Selatan.

Sekian, terima kasih.