KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 adalah satu pengiktirafan terhadap negara ini sebagai negara Islam contoh di mata dunia.
Perdana Menteri berkata beliau difahamkan ini adalah kali pertama multaqa itu diadakan di luar Mesir.
"Sehubungan itu, saya ingin menyatakan rasa berbesar hati bagi pihak rakyat Malaysia kerana negara ini telah dipilih sebagai tuan rumah. Terima kasih saya ucapkan kepada Sheikhul Al-Azhar," katanya semasa berucap merasmikan multaqa itu di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia tetap komited dan sentiasa mengambil berat permasalahan ummah bukan sahaja di kalangan warganya sendiri bahkan bagi umat Islam sejagat.
"Selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia telah berusaha memainkan peranan penting dan bermakna bagi menangani permasalahan umat Islam secara holistik.
"Ini termasuk memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan ekonomi dan modal insan negara-negara anggota. Namun kita sedar bahawa tanggungjawab ini begitu besar serta memerlukan strategi dan pelan pelaksanaan yang jitu serta sokongan padu daripada negara anggota," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Sheikhul Al-Azhar Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi. Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara berhimpun di persidangan empat hari itu.
Pada persidangan akhbar selepas itu, Abdullah berkata Universiti Al-Azhar berjasa besar kepada Malaysia kerana selain memberi pendidikan kepada anak-anak muda negara ini, institusi itu juga mempunyai peranan dalam sejarah Malaysia khususnya dalam perjuangan kemerdekaan.
"Kalau kita kaji sejarah tercetusnya gerakan-gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan pada masa dulu, kita akan dapati bahawa pelajar-pelajar dari Timur Tengah terutama sekali dari Al-Azhar yang memulakan kebangkitan itu.
"Peranan mereka pada peringkat awal adalah amat penting sekali kerana telah menyebarkan semangat nasionalisme, semangat untuk menuntut kemerdekaan," katanya.
Abdullah berkata lulusan Al-Azhar juga banyak memberi sumbangan kepada pembangunan pengajian Islam di negara ini.
"Dengan lain perkataan, golongan ini satu-satunya golongan yang cukup berpengaruh terutama sekali bagi masyarakat Melayu," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment