Monday, March 31, 2008

Sekali Air Bah

Sekali air bah belum tentu pantai berubah.

Begitulah perasan akar umbi UMNO hari ini pasca PRU12.

Setelah dilanda bah besar tsunami 8hb MAC 2008, ramai ahli UMNO dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa mengharapkan suatu perubahan besar akan berlaku di dalam parti. Harapan mereka tersentak sebentar apabila ada cadangan pemilihan UMNO 2007 yang telah ditunda ke tahun ini ditunda lagi ke 2009.

Walau pun keputusan dibuat pemilihan akan berlangsung pada Disember 2008, ramai yang rasa tertipu. Mereka masih mengharapkan ia akan berlansung pada bulan Ogos seperti yang dijadualkan sungguh pun ada yang menuntut seawal April atau Mei. Apa bezanya Disember 2008 dengan 2009?

Tidak kurang ramai juga merasakan tiada perubahan besar bakal berlaku dalam pemilihan ini. “Sistem patronage” serta corak pemilihan amalan UMNO hari ini memberikan kelebihan kepada pemimpin di setiap peringkat mengekalkan kedudukan mereka.

Tambahan pula hari ini pucuk pimpinan UMNO dengan jelas menyatakan sistem kuota yang diamalkan kekal. Sesungguhnya sistem kuota ini telah membunuh demokrasi di dalam parti.

Sistem ini juga yang telah menjadikan UMNO sebuah organisasi di mana ahli mengutamakan kehendak pihak atasan daripada peringkat akar umbi apatah lagi orang luar parti. Kesannya UMNO tidak lagi berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah parti politik untuk kepentingan rakyat tetapi lebih menurut cita rasa pemimpinnya.

Masih tidak nampakkah kita mengapa masyarakat khususnya orang Melayu hilang rasa pertalian mereka dengan UMNO?

UMNO perlukan perubahan bagi mengembalikan keyakinan ahli dan rakyat kepada parti. Apakah mungkin ia berlaku tanpa melakukan perubahan terhadap sistem dan struktur organisasi.

Hari ini keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional telah terhakis di 5+1 buah negeri . Begitu juga halnya dengan dua buah istana.

Kalau tetap tidak berubah juga, tiada bahtera yang dapat menyelamatkan UMNO di dalam bah besar akan datang.



No comments: