Saturday, April 12, 2008

UMNO PJ Selatan: Perdana Menteri sewajarnya undur setelah PRU 12

Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapt. (B) Dato’ Zahar Hashim malam ini menegaskan bahawa dalam sebuah negara maju, Kepimpinan sewajarnya telah meletakan jawatan apabila parti yang dipimpin itu mengalami penyusutan sokongan rakyat dan prestasi menurun dan tidak sebaliknya mendabik dada cuba member alasan yang dikira sebagai ‘memutar belitkan’ maklumat (spin). Yang dimaksudkan ialah kenyataan PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah keputusan Pilihanraya Umum ke XII 8 Mac 2008.

Ahli UMNO PJS telah menyertai dua program melibatkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Ini dijelaskan Kapt. Zahar lagi sebagai hak ahli dan sesekali tidak bermaksud penyertaan ini melambangkan mereka anti Perdana Menteri hari ini.

Ini merupakan ucapan pembukaan pertemuan tertutup antara Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dengan UMNO PJS di Dewan Serbaguna PJS 4. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Perhubungan UMNO Selangor YB Dato’ Raja Idris dan Ketua Wanita UMNO Selangor Datin Paduka Syarifah Noli. 350 orang Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan dan AJK Cawangan UMNO seluruh Petaling Jaya Selatan hadir di majlis ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau amat konsisten dengan kritikan ke atas Perdana Menteri dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dan pentadbiran kerajaan hari ini semenjak tahun 2005. Walaubagaimanapun, segala kritikan yang dibuat oleh Kapt. Zahar dilakukan dalam forum forum tertutup anjuran UMNO.

Dalam ucapanya, Tan Sri Muhammad menyentuh mengenai masalah dalaman UMNO seperti soal kesetiaan dan UMNO sendiri sudah tidak lagi mendekati akar umbi dan rakyat. Beliau tidak langsung menyentuh mengenai PM Dato’ Seri Abdullah dan menantunya YB Khairy Jamaluddin, sebagai faktor utama penyebab UMNO hari ini sudah tidak lagi diyakini dan mendapat sokongan rakyat.

Apabila Ketua Cawangan UMNO PJS mula bercakap, mereka menyalahkan Perdana Menteri ke atas apa yang UMNO alami pada PRU 12 dan mahukan perletakan jawatan serta merta. 3 Ketua Cawangan menambah dengan menyebut nama “Khairy Jamaluddin” dengan terang, sebagai faktor utama kenapa rakyat menolak UMNO/BN. Timbalan Pengerusi Tetap UMNO PJ Selatan Yahya Samad, seorang veteran UMNO yang telah menjadi ahli semenjak 1963, dengan lantang mendesak agar Perdana Menteri meletakan jawatan dengan segera.

Desakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dalam PJS agar Perdana Menteri untuk berundur secara terhormat ini adalah untuk menyelamatkan maruah, sebelum beliau mendapat pencalonan sedikit dan menerima malu yang lebih besar.

Dalam ucapan pengakhir pertemuan, Tan Sri Muhammad menberi alasan bahawa Perdana Menteri bukanlah faktor utama kekalahan UMNO di 5 + 1 negeri, gagal meletakan Menteri Besar pilihan atas 2 negeri dan prestasi menurun dalam 5 negeri lain semasa PRU 12. Alasan ini ialah kerana Johor, Melaka dan Negeri Sembilan belum lagi jatuh kepada Pembangkang. Menurut beliau lagi, sebab utama kekalahan UMNO/BN di Selangor ialah faktor ‘kuil Hindu’, ‘penyapu’, isu ‘Keris’ yang dilihat Bukan Melayu sebagai angkuh, faktor Anwar Ibrahim dan Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas bahawa pemimpin UMNO hari ini seolah berada dalam ’sindrom penafian’ (denial syndrome) dan pendekatan yang dibawa, walaupun semasa bertemu akar umbi akan mengakibatkan ahli UMNO makin meluat kepada Kepimpinan.

No comments: