Friday, April 25, 2008

Muhyiddin: “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”


Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin malam ini mengaku bahawa “Kuasa Pimpinan Melayu kini sudah terhakis” dan “Orang Melayu kini berada di tepi tebing tinggi dan merasa gayat”.

Beliau mengatakan demikian semasa memberi ucaptama dalam Forum Permuafakatan Melayu anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (Selangor/Wilayah Persekutuan), di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Khamis 24hb April 2008.

Sebagai seorang pemimpin peringkat no. 3 dalam UMNO, beliau secara jujur mengatakan keperluan ujud usaha besar dan radikal, hari ini, untuk membela nasib Bangsa Melayu dan mengatasi masalah Kepimpinan UMNO. Gesaan juga dibuat agar orang Melayu bersatu semula dibawah UMNO.

Ini diperkuatkan lagi dengan contoh semasa UMNO mengalami krisis dalam 1988, orang Melayu Johor telah mengadakan satu konvensyen khas di mana sebuah ketetapan dibuat, “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”.

“Teruskan usaha (untuk mengembeling segala perpaduan Melayu) dan elok adakan konsultansi (perundingan) dengan Kepimpinan (UMNO). Orang Melayu juga mesti ikhlas menegur Kepimpinan (UMNO)” pesan Mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor selama sembilan tahun itu, disamping “UMNO adalah milik orang Melayu”, dalam merujuk kepada konvensyen Perpaduan Melayu yang bakal dianjurkan GAPENA di Persada, Johor Bahru, Johor pada 2 dan 3 Mei 2008 dan akan dirasmikan oleh DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al Haj.

Ini mungkin akan menjadi lembaran baru bari Perjuangan Bangsa Melayu kerana DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim juga merasmikan persidangan NGO Melayu seMalaya, yang berthemakan ‘Nasionalism Melayu’ dan menyaksikan Perwakilan bersetuju untuk kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946, dalam Istana Besar, Johor Bahru, Johor.

Seorang pengkaji sejarah terkenal Dato’ Dr. Malik Munip pula menjelaskan bahawa orang Melayu sebenarnya gagal ‘menjelaskan’ (articulate) sejarah dengan komprehensif dan tepat, termasuk merangkaikan dengan hujah dan rujukan yang relevan dan bernas. Contoh yang diberikan ialah dakwaan Pembangkang bahawa Perjuangan UMNO menjurus kepada “Assabiah”. Mengambil tulisan sejarawan terkenal British Arnold Toynbee, yang amat meminati falsafah yang diketengahkan oleh ilmuan kurun ke XIV kelahiran Tunisia Ibnu Khaldun, yang menyebut “Tiada masyarakat yang boleh mencipta kejayaan dan kegemilangan tamadun tanpa semangat ‘kekitaan’ (Espirit De Corp)”.

Dr. Malik juga dengan tegas mengupas pegangan nafas dan roh semasa penubuhan UMNO, bahawa elemen ‘Kebangsaan’ (Nationalism) menjadi tunggak asas Perjuangan “Aspirasi Kebangsaan Melayu mesti menjadi aspirasi Nasional”, yang mula-mula sekali ditegaskan oleh Pendita Za’aba.

Mantan Pensyarah Kanan Kajian Melayu Universiti Malaya Prof. Dato’ Dr. Zainal Kling pula mengutarakan ‘Kedaulatan Melayu’ perlu dikupas dan direncanakan melalui sudut Perlembagaan, Politik (prinsip Perjuangan), Ekonomi serta Kebudayaan, Ugama dan Pendidikan, termasuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai teras rakyat Malaysia, sebagaimana yang akan dipersembahkan dan bincangkan dengan khusus di Johor Bahru 2-3 Mei ini.

Semasa sessi soal jawab, persoalan yang paling banyak diutarakan ialah Pelan Peralihan Kuasa dan post mortem Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12).

2 comments:

Anonymous said...

Tuan,

Sudah terlambat dah. UMNO hari ini tidak lagi diterima oleh Melayu. Seruan pak menteri ini bagai anjing menyalak bukit.

Selamat tinggal UMNO

Anonymous said...

Isu ketuanan Melayu ini bukanlah satu perkara yang baru. Setiap kali bila UMNO terhimpit mereka gunakan isu ini untuk meraih sokongan orang2 Melayu. Tetapi,bila UMNO dapat majoriti besar macam dlm PRU 2004,isu ini tak timbul pun.

Sebenar,aku setuju dengan apa Mahyuddin cakap,tapi dia tak seharusnya melihat perkembangan itu dari perspektif semasa,dia juga harus tinjau apa yang telah berlaku semasa zaman Tengku,Razak,Hussein Oon & Mahathir. Sebenar ketuanan Melayu dah mula lingkop semasa era pemerintahan Tengku lagi,bila dia bagi muka kat bangsa2 lain.

Saya pernah menghadiri berpuluh2 polimik,forum berkaitan ketuanan Melayu,berbagai-bagai tokoh termasuklah Malik Munip,Zainal Keling dll,semuanya pandai berkokok berderai,resolusi dibuat,di hari akhir semuanya masuk dalam fail dan disimpan di arkib negara. Peserta balik kampung masing-masing & bila sampai rumah lupa habis pasal ketuanan Melayu. Itulah senario yang berlaku berpuluh2 tahun sampai saya dah meluat & fedup dengan janji2 kosong.

Satu isu yang pernah dibincang adalah berkaitan dengan tawaran biasiswa kepada pelajar2 Melayu. Kononnya,nak guna wang Petronas untuk buat dana & tubuh tabung seperti Tabung Haji bagi mengeluarkan biasiswa untuk pelajar2 Melayu. Tapi,apa yang terjadi,wang Petronas diguna untuk bailout syarikat2 kroni yang dah nak mampus.Wang royalti minyak diguna untuk joli pesta Monsoon Cup..semua ini untuk orang Melayukah? cuba you tanya Muhyuddin? Yang untung adalah Patrick Badawi & kuncu2nya dan mereka ini Melayukah? So mana ketuanan Melayu yang dok laung2kan kini?

Sekali dua OKlah nak temberang tapi kalau dok berulang-ulang dan hasilnya tak nampak,Melayu mana yang percaya lagi,kecuali ahli UMNO totok.

Sorrylah,bagi saya ketuanan Melayu ini dah lingkop,
musnah,bukan angkara buatan bangsa asing tetapi diperkosa oleh pemimpin UMNO yang tamak haloba yang masih bergentayangan dan tak sedar diri dari dulu, kini dan selama-lamanya…

cheers.