KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pemikiran sempit di kalangan umat Islam adalah 'musuh' paling bahaya bagi mereka pada masa kini.
Beliau berkata kesempitan pemikiran itu bukan saja menyebabkan mereka menolak kemajuan tetapi juga boleh memudahkan tugas musuh Islam untuk menyebarkan dakyah mereka.
"Sesungguhnya pandangan sempit sebegini amat berbahaya dan jika dibiarkan merebak di kalangan umat Islam maka lama-kelamaan mereka akan menjadi golongan yang ekstrem.
"Sebenarnya pemikiran sempit ini adalah racun kepada pemikiran kita (umat Islam)," katanya berucap merasmikan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di sini.
Perdana Menteri seterusnya menyeru agar para ulama dan pemikir Islam mencari jalan untuk membetulkan perkara itu dan menunjukkan landasan sebenar yang perlu dilalui umat Islam pada masa kini.
Mengulas lanjut mengenai 'musuh berbahaya' Islam itu, Abdullah berkata ruang kosong akibat pemikiran sempit itu akan memberi ruang kepada musuh Islam untuk menanam pemikiran-pemikiran yang merosakkan, dan jika tidak dibendung dari awal akan menjadi barah dan merebak secara lebih meluas.
"Kesempitan pemikiran di kalangan umat Islam merupakan masalah asas yang perlu ditangani dengan segera. Sebagai contoh mereka ini mentafsir Islam mengikut pemahaman sendiri yang serba terbatas. Islam dilihat daripada sudut yang terlalu sempit," katanya.
Perdana Menteri turut menggariskan serangan pengaruh dan dakyah musuh-musuh Islam sebagai satu lagi masalah berbahaya, sama ada yang menular secara terang-terangan mahupun secara berselindung.
"Pelbagai dakyah tersebar secara tidak terbatas, lebih-lebih lagi menerusi ruang maya atau internet yang dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan.
"Dalam menghadapi suasana semasa ini, saya berpendapat bahawa para ulama dan pemikir Islam perlu bangkit menyatakan pendirian dan buah fikiran mereka bagi mencari jalan agar umat Islam berada pada landasan yang benar," katanya.
Abdullah berkata peranan ulama dan pemikir Islam adalah amat penting bagi mengikis persepsi sesetengah pihak yang berat sebelah dan melabelkan Islam sebagai agama menganjurkan keganasan.
"Dalam hal ini, para ulama dan pemikir Islam perlu bersatu dalam menyatakan pendirian mereka yang berupaya mengembalikan citra umat Islam sebagai umat yang disegani dan dihormati, bukan umat yang dikeji dan boleh dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam," katanya.
Perdana Menteri berkata umat Islam juga harus bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka begitu lemah dalam menyelesaikan masalah mereka.
"Tentunya kekurangan upaya ini (untuk menyelesaikan masalah sendiri)datang dari dalam negara kita sendiri dan perlu dikenal pasti," katanya menambah kata bahawa punca utama adalah kelemahan ekonomi sesebuah negara.
Justeru, katanya, adalah menjadi kewajipan kemiskinan dan kemunduran ekonomi itu dibaiki kerana jika dibiar berterusan umat Islam akan bertambah lemah dan sekaligus boleh mendedahkan mereka kepada penindasan dan tekanan.
Beliau seterusnya mencadangkan negara-negara Islam yang mampu agar mengambil seramai mungkin pelajar dari negara Islam yang miskin untuk menimba ilmu yang kelak boleh diguna membangunkan negara sendiri.
"Di Malaysia, pendekatan yang kita guna adalah pembangunan modal insan untuk memacu usaha membangunkan ekonomi negara ini," katanya.
Perdana Menteri berkata umat Islam juga perlu menoleh ke belakang dan melihat sejarah, dan tidak terlalu taksub mengejar masa depan.
"Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan bahawa kita hanya menjadi pemuja sejarah, pemuja nostalgia. Dari satu sisi mungkin benar anggapan tersebut. Namun dari sisi yang lebih luas, manusia perlu belajar daripada sejarah kerana sejarah tidak berdusta atau berbohong," katanya.
Pada sidang media selepas itu, Abdullah berkata Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menerima pandangan yang diutara oleh ulama Universiti Al-Azhar kerana mereka adalah golongan yang berfahaman sederhana dari Sunnah Wal-Jamaah.
"Kebanyakan lepasan Al-Azhar di sini berada dalam institusi pengajian tinggi tempatan dan institusi kerajaan," katanya.
Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia boleh menerima pandangan yang dikemuka ulama Universiti Al-Azhar sekiranya mereka memberi cadangan dan saranan dalam konteks membetulkan pemikiran sempit yang wujud di kalangan umat Islam sekarang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyed Tantawi.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment