Saturday, April 26, 2008

Ku Li: UMNO perlu kembali kepada visi asal dan membuktikan persepsi popular hari ini tidak benar

Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah petang ini mengatakan UMNO perlu merenung semula dasar, cara pergerakan dan pandangan serta penerima ahli, terutama orang Melayu.

“Perlu dibuktikan bahawa persepsi rakyat hari ini keatas UMNO sebenarnya tidak betul dan UMNO sebenarnya masih lagi relevan untuk orang Melayu, rakyat Malaysia dan menangani cabaran Globalisasi”.

Beliau membuat gesaan ini dalam satu majlis bersama sama Cawangan Umno sekitar Subang Jaya di Holiday Villa.

Kuasa orang Melayu hari ini bergantung kepada kekuatan sokongan dari Sabah dan Sarawak kerana calon UMNO telah kalah dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti pilihanraya umum sebelum ini.

“Biasanya dalam sistem demokrasi, Kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti, tidak akan berkesan” ujar pemimpin UMNO berusia 71 tahun itu. “Rakyat mahukan sistem ‘check and balance’, yang ditafsirkan dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008, melalui undi popular. Demokrasi makin matang, maju dan celik politik”.

UMNO ditolak dalam PRU 12 kerana keputusan yang dibuat Kerajaan tidak memihak dan menjaga kepentingan rakyat kerana Kepimpinan tidak mendengar hasrat akar umbi. “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Imej dan Perjuangan UMNO perlu membayangi aspirasi akar umbi yang mereka pimpin.

“Rakyat ini hilang keyakinan dan marah kepada BN dan UMNO”. Beliau menegaskan. Walaubagaimanapun, beliau tidak begitu yakin Pakatan Rakyat dengan mudah dapat menubuhkan Kerajaan kerana calon pemimpin mereka bukanlah dari golongan yang cukup mantap. “Yang penting UMNO perlu kembalikan usaha meyakinkan rakyat, memperkuatkan parti dan ubah budaya.

Keadaan yang berlaku hari ini ialah pada orang Bukan Melayu, parti komponen BN terlalu mengikut kehendak UMNO sehingga mereka ditolak sama sekali. Walaubagaimanapun, pada orang Melayu, UMNO dilihat terlalu berkompromi kepada desakan orang Bukan Melayu.

“Krisis yang melanda hari ini ialah mengenai nilai dan Kepimpinan” ujar Tengku Razaleigh. Kelemahan Kepimpinan ialah untuk melaksanakan visi asal UMNO ditubuhkan. Orang UMNO hari ini sanggup memberikan sokongan mereka kepada PAS dan PKR dan membelakangkan UMNO kerana mereka mempunyai persepsi bahawa Pembangkang itu lebih jujur, amanah, bersih dan adil. UMNO hari ini bertanggung jawab untuk membuktikan persepsi ini salah dan UMNO sebenarnya masih relevan.

UMNO didesak perlu menghapuskan persepsi ianya sebuah ‘parti elitis’ dan menangkis tohmahan bahawa UMNO hari ini lebih bersifat ‘liabiliti’, terutama sebagaimana yang dialami parti komponen BN.

“Dasar parti ialah untuk kepentingan Bangsa dan Negara, Bukan untuk Bangsa dan Negara lain”, sebagai gesaan terutama tindakan Kepimpinan hari ini dilihat memberikan kelebihan pada pihak lain, termasuk luar.

Di akhir ucapan, Tengku Razaleigh mengaris langkah yang perlu UMNO lakukan untuk kembali relevan:

1. UMNO perlu mengekalkan semangat Kebangsaan, tanpa mengadaikan roh Islam yang didukungnya.
2. Kuatkan sistem oganisasi dengan elemen innovatif, dinamik dan proaktif mutu Kepimpinan
3. UMNO perlu ditingkatkan setara seluruh peringkat dan tidak bergelumang dengan persepsi seperti rasuah dan kronisma.

Ini merupakan ucapan paling komprehensif Tengku Razaleigh pernah berikan, yang dibuat atas platform UMNO dalam konteks ‘membaikan’ parti nasionalis Melayu yang berusia 62 tahun itu.

UMNO Batu Pahat - Peralihan Kuasa ialah proses “Merakyatkan UMNO”

Ketua Penerangan UMNO Johor YB Dr. Hj. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan bahawa proses ‘Peralihan Kuasa dan Kepimpinan’ yang digesa akar umbi keatas Kepimpinan, agar PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebelum Disember 2008 adalah model Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menyerah kuasa kepada Tun Razak’ dan merupakan proses “Merakyatkan UMNO”.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat membuat desakan ini dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat pagi Sabtu 26hb April.

“UMNO perlu diselamatkan” dan Mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor juga memberikan contoh UMNO hari ini berada dalam keadaan umpama “Alice di Wonderland yang telah sampai ke persimpangan” dan juga mengunakan puisi Dato’ Usman Awang mengenai ‘Surat dari masyarakat burung kepada Dato’ Bandar’.

Usul kemudianya dibentang Aziz Ismail dan disokong oleh Hj. Shahril Hj, Abdul Karim. Usul akan dibahaskan iaitu:

1. Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) diadakan,
2. Segerakan Plan Peralihan Kuasa,
3. Desak adakan ‘Peralihan Kuasa’ sebelum Disember 2008,
4. Mengkaji punca rakyat marah, kekalahan BN dan faktor famili,
5. Laksana Perlembagaan tanpa kompromi ke atas Islam dan Melayu.

Friday, April 25, 2008

Muhyiddin: “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”


Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin malam ini mengaku bahawa “Kuasa Pimpinan Melayu kini sudah terhakis” dan “Orang Melayu kini berada di tepi tebing tinggi dan merasa gayat”.

Beliau mengatakan demikian semasa memberi ucaptama dalam Forum Permuafakatan Melayu anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (Selangor/Wilayah Persekutuan), di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Khamis 24hb April 2008.

Sebagai seorang pemimpin peringkat no. 3 dalam UMNO, beliau secara jujur mengatakan keperluan ujud usaha besar dan radikal, hari ini, untuk membela nasib Bangsa Melayu dan mengatasi masalah Kepimpinan UMNO. Gesaan juga dibuat agar orang Melayu bersatu semula dibawah UMNO.

Ini diperkuatkan lagi dengan contoh semasa UMNO mengalami krisis dalam 1988, orang Melayu Johor telah mengadakan satu konvensyen khas di mana sebuah ketetapan dibuat, “Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu”.

“Teruskan usaha (untuk mengembeling segala perpaduan Melayu) dan elok adakan konsultansi (perundingan) dengan Kepimpinan (UMNO). Orang Melayu juga mesti ikhlas menegur Kepimpinan (UMNO)” pesan Mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor selama sembilan tahun itu, disamping “UMNO adalah milik orang Melayu”, dalam merujuk kepada konvensyen Perpaduan Melayu yang bakal dianjurkan GAPENA di Persada, Johor Bahru, Johor pada 2 dan 3 Mei 2008 dan akan dirasmikan oleh DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al Haj.

Ini mungkin akan menjadi lembaran baru bari Perjuangan Bangsa Melayu kerana DYTM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim juga merasmikan persidangan NGO Melayu seMalaya, yang berthemakan ‘Nasionalism Melayu’ dan menyaksikan Perwakilan bersetuju untuk kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946, dalam Istana Besar, Johor Bahru, Johor.

Seorang pengkaji sejarah terkenal Dato’ Dr. Malik Munip pula menjelaskan bahawa orang Melayu sebenarnya gagal ‘menjelaskan’ (articulate) sejarah dengan komprehensif dan tepat, termasuk merangkaikan dengan hujah dan rujukan yang relevan dan bernas. Contoh yang diberikan ialah dakwaan Pembangkang bahawa Perjuangan UMNO menjurus kepada “Assabiah”. Mengambil tulisan sejarawan terkenal British Arnold Toynbee, yang amat meminati falsafah yang diketengahkan oleh ilmuan kurun ke XIV kelahiran Tunisia Ibnu Khaldun, yang menyebut “Tiada masyarakat yang boleh mencipta kejayaan dan kegemilangan tamadun tanpa semangat ‘kekitaan’ (Espirit De Corp)”.

Dr. Malik juga dengan tegas mengupas pegangan nafas dan roh semasa penubuhan UMNO, bahawa elemen ‘Kebangsaan’ (Nationalism) menjadi tunggak asas Perjuangan “Aspirasi Kebangsaan Melayu mesti menjadi aspirasi Nasional”, yang mula-mula sekali ditegaskan oleh Pendita Za’aba.

Mantan Pensyarah Kanan Kajian Melayu Universiti Malaya Prof. Dato’ Dr. Zainal Kling pula mengutarakan ‘Kedaulatan Melayu’ perlu dikupas dan direncanakan melalui sudut Perlembagaan, Politik (prinsip Perjuangan), Ekonomi serta Kebudayaan, Ugama dan Pendidikan, termasuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai teras rakyat Malaysia, sebagaimana yang akan dipersembahkan dan bincangkan dengan khusus di Johor Bahru 2-3 Mei ini.

Semasa sessi soal jawab, persoalan yang paling banyak diutarakan ialah Pelan Peralihan Kuasa dan post mortem Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12).

Saturday, April 12, 2008

UMNO PJ Selatan: Perdana Menteri sewajarnya undur setelah PRU 12

Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapt. (B) Dato’ Zahar Hashim malam ini menegaskan bahawa dalam sebuah negara maju, Kepimpinan sewajarnya telah meletakan jawatan apabila parti yang dipimpin itu mengalami penyusutan sokongan rakyat dan prestasi menurun dan tidak sebaliknya mendabik dada cuba member alasan yang dikira sebagai ‘memutar belitkan’ maklumat (spin). Yang dimaksudkan ialah kenyataan PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah keputusan Pilihanraya Umum ke XII 8 Mac 2008.

Ahli UMNO PJS telah menyertai dua program melibatkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Ini dijelaskan Kapt. Zahar lagi sebagai hak ahli dan sesekali tidak bermaksud penyertaan ini melambangkan mereka anti Perdana Menteri hari ini.

Ini merupakan ucapan pembukaan pertemuan tertutup antara Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dengan UMNO PJS di Dewan Serbaguna PJS 4. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Perhubungan UMNO Selangor YB Dato’ Raja Idris dan Ketua Wanita UMNO Selangor Datin Paduka Syarifah Noli. 350 orang Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan dan AJK Cawangan UMNO seluruh Petaling Jaya Selatan hadir di majlis ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau amat konsisten dengan kritikan ke atas Perdana Menteri dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO dan pentadbiran kerajaan hari ini semenjak tahun 2005. Walaubagaimanapun, segala kritikan yang dibuat oleh Kapt. Zahar dilakukan dalam forum forum tertutup anjuran UMNO.

Dalam ucapanya, Tan Sri Muhammad menyentuh mengenai masalah dalaman UMNO seperti soal kesetiaan dan UMNO sendiri sudah tidak lagi mendekati akar umbi dan rakyat. Beliau tidak langsung menyentuh mengenai PM Dato’ Seri Abdullah dan menantunya YB Khairy Jamaluddin, sebagai faktor utama penyebab UMNO hari ini sudah tidak lagi diyakini dan mendapat sokongan rakyat.

Apabila Ketua Cawangan UMNO PJS mula bercakap, mereka menyalahkan Perdana Menteri ke atas apa yang UMNO alami pada PRU 12 dan mahukan perletakan jawatan serta merta. 3 Ketua Cawangan menambah dengan menyebut nama “Khairy Jamaluddin” dengan terang, sebagai faktor utama kenapa rakyat menolak UMNO/BN. Timbalan Pengerusi Tetap UMNO PJ Selatan Yahya Samad, seorang veteran UMNO yang telah menjadi ahli semenjak 1963, dengan lantang mendesak agar Perdana Menteri meletakan jawatan dengan segera.

Desakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dalam PJS agar Perdana Menteri untuk berundur secara terhormat ini adalah untuk menyelamatkan maruah, sebelum beliau mendapat pencalonan sedikit dan menerima malu yang lebih besar.

Dalam ucapan pengakhir pertemuan, Tan Sri Muhammad menberi alasan bahawa Perdana Menteri bukanlah faktor utama kekalahan UMNO di 5 + 1 negeri, gagal meletakan Menteri Besar pilihan atas 2 negeri dan prestasi menurun dalam 5 negeri lain semasa PRU 12. Alasan ini ialah kerana Johor, Melaka dan Negeri Sembilan belum lagi jatuh kepada Pembangkang. Menurut beliau lagi, sebab utama kekalahan UMNO/BN di Selangor ialah faktor ‘kuil Hindu’, ‘penyapu’, isu ‘Keris’ yang dilihat Bukan Melayu sebagai angkuh, faktor Anwar Ibrahim dan Mantan Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas bahawa pemimpin UMNO hari ini seolah berada dalam ’sindrom penafian’ (denial syndrome) dan pendekatan yang dibawa, walaupun semasa bertemu akar umbi akan mengakibatkan ahli UMNO makin meluat kepada Kepimpinan.