Friday, February 22, 2008

Calon UMNO N33 DUN Taman Medan

Barisan Nasional Selangor mengumumkan muka baru Puan Munaliza Hamzah sebagai calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N33 Taman Medan bagi Pilihanraya Umum Ke 12 pada 8hb Mac 2008 nanti.


Puan Munaliza Hamzah seorang Ahli Majlis Dewan Bandaraya Petaling Jaya merupakan Setiausaha Kerja Wanita UMNO merangkap Ketua UMNO Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan..

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM), Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Calon Dalam Media

Calon Muka Baru Tunjuk Semangat Hadapi Pilihan Raya Umum Mac Ini

Gejala sosial remaja perlu kukuhkan jati diri

Wanita UMNO Malaysia adakan solat hajat

Kenapa susah namakan jalan, bangunan dengan nama wanita



Monday, February 18, 2008

Peta Zon 12 - N33 Taman Medan & P105 Petaling Jaya Selatan

Peta untuk Seksyen 14 Utara



Peta untuk seksyen 14 selatan


Pangkah X berwarna kuning menandakan tempat pembuangan undi.

Saturday, February 16, 2008

PM Berterima Kasih Al-Azhar Iktiraf Malaysia Negara Islam Contoh

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 adalah satu pengiktirafan terhadap negara ini sebagai negara Islam contoh di mata dunia.

Perdana Menteri berkata beliau difahamkan ini adalah kali pertama multaqa itu diadakan di luar Mesir.

"Sehubungan itu, saya ingin menyatakan rasa berbesar hati bagi pihak rakyat Malaysia kerana negara ini telah dipilih sebagai tuan rumah. Terima kasih saya ucapkan kepada Sheikhul Al-Azhar," katanya semasa berucap merasmikan multaqa itu di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia tetap komited dan sentiasa mengambil berat permasalahan ummah bukan sahaja di kalangan warganya sendiri bahkan bagi umat Islam sejagat.

"Selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia telah berusaha memainkan peranan penting dan bermakna bagi menangani permasalahan umat Islam secara holistik.

"Ini termasuk memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan ekonomi dan modal insan negara-negara anggota. Namun kita sedar bahawa tanggungjawab ini begitu besar serta memerlukan strategi dan pelan pelaksanaan yang jitu serta sokongan padu daripada negara anggota," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Sheikhul Al-Azhar Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi. Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara berhimpun di persidangan empat hari itu.

Pada persidangan akhbar selepas itu, Abdullah berkata Universiti Al-Azhar berjasa besar kepada Malaysia kerana selain memberi pendidikan kepada anak-anak muda negara ini, institusi itu juga mempunyai peranan dalam sejarah Malaysia khususnya dalam perjuangan kemerdekaan.

"Kalau kita kaji sejarah tercetusnya gerakan-gerakan nasionalisme menuntut kemerdekaan pada masa dulu, kita akan dapati bahawa pelajar-pelajar dari Timur Tengah terutama sekali dari Al-Azhar yang memulakan kebangkitan itu.

"Peranan mereka pada peringkat awal adalah amat penting sekali kerana telah menyebarkan semangat nasionalisme, semangat untuk menuntut kemerdekaan," katanya.

Abdullah berkata lulusan Al-Azhar juga banyak memberi sumbangan kepada pembangunan pengajian Islam di negara ini.

"Dengan lain perkataan, golongan ini satu-satunya golongan yang cukup berpengaruh terutama sekali bagi masyarakat Melayu," katanya.

-- BERNAMA

Pemikiran Sempit Umat Jadi Musuh Berbahaya Islam, Kata PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pemikiran sempit di kalangan umat Islam adalah 'musuh' paling bahaya bagi mereka pada masa kini.

Beliau berkata kesempitan pemikiran itu bukan saja menyebabkan mereka menolak kemajuan tetapi juga boleh memudahkan tugas musuh Islam untuk menyebarkan dakyah mereka.

"Sesungguhnya pandangan sempit sebegini amat berbahaya dan jika dibiarkan merebak di kalangan umat Islam maka lama-kelamaan mereka akan menjadi golongan yang ekstrem.

"Sebenarnya pemikiran sempit ini adalah racun kepada pemikiran kita (umat Islam)," katanya berucap merasmikan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di sini.

Perdana Menteri seterusnya menyeru agar para ulama dan pemikir Islam mencari jalan untuk membetulkan perkara itu dan menunjukkan landasan sebenar yang perlu dilalui umat Islam pada masa kini.

Mengulas lanjut mengenai 'musuh berbahaya' Islam itu, Abdullah berkata ruang kosong akibat pemikiran sempit itu akan memberi ruang kepada musuh Islam untuk menanam pemikiran-pemikiran yang merosakkan, dan jika tidak dibendung dari awal akan menjadi barah dan merebak secara lebih meluas.

"Kesempitan pemikiran di kalangan umat Islam merupakan masalah asas yang perlu ditangani dengan segera. Sebagai contoh mereka ini mentafsir Islam mengikut pemahaman sendiri yang serba terbatas. Islam dilihat daripada sudut yang terlalu sempit," katanya.

Perdana Menteri turut menggariskan serangan pengaruh dan dakyah musuh-musuh Islam sebagai satu lagi masalah berbahaya, sama ada yang menular secara terang-terangan mahupun secara berselindung.

"Pelbagai dakyah tersebar secara tidak terbatas, lebih-lebih lagi menerusi ruang maya atau internet yang dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan.

"Dalam menghadapi suasana semasa ini, saya berpendapat bahawa para ulama dan pemikir Islam perlu bangkit menyatakan pendirian dan buah fikiran mereka bagi mencari jalan agar umat Islam berada pada landasan yang benar," katanya.

Abdullah berkata peranan ulama dan pemikir Islam adalah amat penting bagi mengikis persepsi sesetengah pihak yang berat sebelah dan melabelkan Islam sebagai agama menganjurkan keganasan.

"Dalam hal ini, para ulama dan pemikir Islam perlu bersatu dalam menyatakan pendirian mereka yang berupaya mengembalikan citra umat Islam sebagai umat yang disegani dan dihormati, bukan umat yang dikeji dan boleh dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam juga harus bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka begitu lemah dalam menyelesaikan masalah mereka.

"Tentunya kekurangan upaya ini (untuk menyelesaikan masalah sendiri)datang dari dalam negara kita sendiri dan perlu dikenal pasti," katanya menambah kata bahawa punca utama adalah kelemahan ekonomi sesebuah negara.

Justeru, katanya, adalah menjadi kewajipan kemiskinan dan kemunduran ekonomi itu dibaiki kerana jika dibiar berterusan umat Islam akan bertambah lemah dan sekaligus boleh mendedahkan mereka kepada penindasan dan tekanan.

Beliau seterusnya mencadangkan negara-negara Islam yang mampu agar mengambil seramai mungkin pelajar dari negara Islam yang miskin untuk menimba ilmu yang kelak boleh diguna membangunkan negara sendiri.

"Di Malaysia, pendekatan yang kita guna adalah pembangunan modal insan untuk memacu usaha membangunkan ekonomi negara ini," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam juga perlu menoleh ke belakang dan melihat sejarah, dan tidak terlalu taksub mengejar masa depan.

"Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan bahawa kita hanya menjadi pemuja sejarah, pemuja nostalgia. Dari satu sisi mungkin benar anggapan tersebut. Namun dari sisi yang lebih luas, manusia perlu belajar daripada sejarah kerana sejarah tidak berdusta atau berbohong," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Abdullah berkata Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menerima pandangan yang diutara oleh ulama Universiti Al-Azhar kerana mereka adalah golongan yang berfahaman sederhana dari Sunnah Wal-Jamaah.

"Kebanyakan lepasan Al-Azhar di sini berada dalam institusi pengajian tinggi tempatan dan institusi kerajaan," katanya.

Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia boleh menerima pandangan yang dikemuka ulama Universiti Al-Azhar sekiranya mereka memberi cadangan dan saranan dalam konteks membetulkan pemikiran sempit yang wujud di kalangan umat Islam sekarang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyed Tantawi.

-- BERNAMA

Friday, February 15, 2008

Keputusan Pilihanraya Umum 2004


Rakyat Malaysia Mengundi Pada 8 Mac


PUTRAJAYA, 14 Feb -- Pengundian bagi pilihan raya umum ke-12 ditetapkan pada 8 Mac ini manakala penamaan calon ialah pada 24 Feb, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengumumkan hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telahpun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.

Seramai 10,922,139 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Feb lepas, katanya.

Abdul Rashid membuat pengumuman itu pada pukul 11.40 pagi ini di ibu pejabat SPR di sini dan ia disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

-- BERNAMA

Selamat Datang

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Blog UMNO Bahagian PJ Selatan Zon 12 - DUN Taman Medan.

Blog ini diadakan khusus untuk Pilihanraya Umum Ke 12 tahun 2008. Ia bertujuan untuk menjadi wadah komunikasi kepada pengundi-pengundi untuk mewar-warkan manifesto UMNO & Barisan Nasional, acara-acara kami dan berita-berita terkini untuk pengundi-pengundi kawasan DUN N33 Taman Medan dan Parlimen P105 Petaling Jaya Selatan khusus bagi peti-peti undi Seksyen 14 Utara dan Seksyen 14 Selatan.

Sekian, terima kasih.